4 Disember 2008

kumerindukanmu..

          Memang sejak kecil, aja tak pernah berkesempatan untuk rapat dengan abang. Mungkin kerana perbezaan umur kita yang agak jauh, menyebabkan kita jarang untuk mengeratkan ikatan persaudaraan. Saat aja masih kecil, aja tidak menyimpan apa-apa memori saat aja bersama abang. Namun, melihat beberapa foto yang sempat dipotretkan, aja yakin bahwa dulu abang sering meluangkan masa untuk membuli aja. Hahaha. Alangkah indahnya jika aja sempat merakam memori itu.

          Semakin kita bertambah usia, aja mulai memasuki usia persekolahan. Namun, kita tetap jarang bersama gara-gara abang dihantar pergi ke asrama. 5 tahun kita hanya meluangkan sedikit masa bersama. Setelah abang usai bersekolah jauh dari istana kita, giliran aja pula untuk menyambung tradisi keluarga, dihantar jauh untuk belajar berdiri di atas kaki sendiri. Namun, aja sering mendengar kisah-kisah lucu yang dicoretkan abang, walau hanya melalui bibir ibunda tercinta. Aja tumbuh dengan bangga menyebut aja mempunyai seorang abang, walau aja tidak terlalu mengenali abang. Tiap kali pulang cuti, walau aja cuba untuk menyempatkan untuk berkongsi tawa abang, namun abang seperti cuba untuk menjaga jarak. Namun aja mengerti mengapa. Abang cuma berasa segan dengan diri kita berdua yang semakin meningkat dewasa. Kita tidak mungkin dapat bergurau senda seperti kecil dahulu. Waktu itu abang cuma bermanja dan dekat dengan adik kecil kita yang masih terlalu muda. Tapi, aku tetap dan tidak akan melupakan pesan abang, untuk memakai seluar panjang walau sudah memakai kain panjang di luar, kerana kata abang, bumi akan berasa malu melihat aurat kita. Tapi yang lucunya, abang tidak suka kami, adik-adik perempuan abang yang sudah remaja untuk mengenakan seluar apabila keluar rumah. Kata abang, tidak cantik perempuan untuk memakai seluar berjalan keluar. Hehehe. Aja masih ingat abang meminta ibunda untuk mengganti seluar slack hitam yang telah dikenakan.

          Namun, entah mengapa, tiba-tiba saat aja di pertengahan menengah rendah, kita menjadi rapat. Ke mana aja meminta abang untuk menemani aja, abang pasti turuti. Meski sebelum ini abang tidak pernah mahu membonceng aja dan adik perempuan abang yang telah besar yang lain. Kerana kata ibunda, abang segan menunggang motor dengan kami, remaja puteri di belakang abang. Mungkin gara-gara di kawasan rumah kita agak banyak bonggol dan abang terpaksa menggunakan 'brake' berkali-kali. Hehehe. Tapi bang, yang menyedihkan aja, kedekatan kita hanya berkisar sekitar 2 minggu. Setelah aja selesai bercuti, aja kembali ke penjara asrama, aja dipanah dengan berita pemergian abang, buat selamanya dari dunia ini. Hancul luluh hati aja ini abang. Malah, 'cd' pesanan abang tidak sempat aja serahkan pada abang.

          Aja merupakan orang terakhir yang menatap wajah abang buat kali terakhir. Untung ibunda menangguhkan upacara pengebumian abang hingga keesokkannya kerana dinihari aja baru tiba ke istana kita. Waktu aja sampai, semua sudah layu, kelelahan. Aja melangkah ke dalam rumah, nah, di situ aja lihat sekujur tubuh berbalut kain putih terbaring. Aja hampiri, aja lihat rupanya abang sedang tidur. Aja pun duduk di samping abang, sambil membaca komik doraemon, menunggu abang untuk bangun. Sehingga ibunda menegur aja kerana tidak sopan memperlakukan abang sebegitu. Aja bingung. Apa yang salah? Aja masuk ke dalam bilik, air mata tidak berhenti mengalir walau aja tak mengerti untuk apa. Sebegitu juga yang berlaku saat tubuh abang disemadikan, aja bingung, kenapa aja tak mampu menghentikan tangisan ini.

          Hari berlalu. Namun aja masih tetap setia menunggu untuk abang pulang dari kerja saat jam berdenting sebelas kali. Kadang-kadang aja pelik, kenapa abang tidak pulang-pulang walau aja sudah menunggu sehingga jam tiga pagi. Esok juga begitu. Aja sabar menanti abang kerana memang sudah kebiasaan aja sejak dulu lagi, saat abang belum pergi, aja memang akan tidur setelah mendengar suara motor abang. Setahun aja begini. Menanti. Menunggu tanpa jemu. Sehinggalah pada hari lebaran tahun berikutnya, saat aja mengunjungi pusara abang, aja seperti dibisikkan sesuatu, agar melepaskan abang. Barulah aja sedar pusara siapa yang telah menjadi rutin untuk kami sekeluarga kunjungi saban minggu. Laungan merdu takbir di pagi raya menyentap hati aja. Menyedarkan aja bahawa abang memang telah pergi ke dakapanNya. Jauh tak tergapaikan buat sementara.

          Aja lalui hari-hari aja dengan rasa terkilan gara-gara tiadanya kesempatan kita untuk lebih dekat lebih lama lagi. Tiadanya memori indah yang kita kongsi berdua yang sempat aja sematkan di ingatan aja. Namun aja redha, kerana aja tahu, abang pasti sedang menunggu kita untuk berkumpul semula, seperti dulu. Aja sangat merindukan abang, rindukan saat abang menyakat ibunda sehingga ibunda mati akal dan hanya mampu tertawa dengan telatah abang. Ketahuilah abang, aja tidak pernah melewati hari-hari aja tanpa menyempatkan untaian doa untuk abang di sana, dan untuk saat perkumpulan kita sekeluarga lagi. Betapa aja tidak sabar.

p/s : tolong sampaikan pesan rindu da peluk cium aja buat adik kita Siti Hafidzah yang dari awal telah menemani abang di sana. Aja rindu kalian berdua.

5 ulasan:

Adzeem berkata...

panjang banget nih blognya..penat aku nak membaca (adakah aku baca?)

aliaa berkata...

(T_T)

AnAdKiNg berkata...

he knows you love him and he will always be there in your heart. al-fatihah...

Adzeem berkata...

ajabuntal,aku akn ade,leh jadi abg ko walaupun aku rase xlayak,tp boleh cuba kan?
:P
hehe..memain je..
4 tahun dulu pon aku ade kisah kehilangan yg sama.masa tu dah besar kan? form 5, cukup untuk faham segalanya.
anyway be strong.tak ada abang xmungkin mksudnye tak ada segalanya.
bile kehilangan abang,aku rase aku bertanggungjwab utk jadi abang yg lebih baik untuk adik2 aku.
maybe ko pon leh jd mcm aku,cume aku ade janggut tumbuh 1/4 cm sehari.:)

Najlaa berkata...

adikku,.
sungguh sebak dada ini membaca blog mu.. entry yg ini memang mengusik jiwa aku. tpi, sedikit pesanan. tabahlah. yg pergi, relakan la. insyaallah, di Sana nnti, akan kau bertemu juga dgn mereka.